‘Sajat, muhasabah dan perbaikilah diri, bukannya merajuk!’

 

Kuala Lumpur: Pendekatan berhemah pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris, 40, berkenaan kontroversi usahawan kosmetik popular, Nur Sajat yang dikatakan mahu keluar Islam mendapat pujian netizen.

Kata-kata nasihatnya di Instagram TV (IGTV) kepada masyarakat berkenaan hukuman kepada seseorang yang murtad mendapat komen positif.

Amin berkata, semua pihak perlu berhati-hati menilai isu ini kerana ada orang yang mahu keluar Islam kerana benci pada Islam atau benci dan memberontak kepada pemerintah Islam.

“Terdapat juga segelintir pihak yang mahu keluar dari Islam kerana nak selamatkan diri dari pihak berkuasa Islam. Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 bahagian kedua, berkaitan dengan kesalahan berhubung akidah, Seksyen 5 menyebut, ada mendakwa bukan orang Islam untuk mengelak tindakan,” katanya.

Menurutnya, Sajat pula sering mengelak apabila dipanggil ke mahkamah dan kemudiannya menghilangkan diri serta akhirnya tampil dengan kenyataan mahu keluar Islam.

Amin berkata, sebagai orang Islam, janganlah apabila tidak setuju dengan perkara tidak berakhlak, masyarakat gunakan pendekatan yang tidak berakhlak juga dengan mengecam dan menghina.

“Tidak kurang juga yang memurtadkan dia walaupun dia sudah menyebut perkataan yang nak keluar dari Islam. Kita adalah pendakwah yang mengajak, bukan hakim yang menghukum,” katanya.

Menurutnya, bukan perkara senang untuk hakim menjatuhkan hukuman murtad kepada seseorang individu kerana perlu melihat dari pelbagai sudut.

“Tiba-tiba kita di media sosial senang-senang saja menghukum orang murtad. Tak kurang juga yang komen bunuh dia, pancung dia. Para fuqaha’ pun berbeza pendapat mengenai hukuman bunuh kepada yang murtad,” katanya.

Menurutnya, Imam Bukhari dan disebut juga oleh Dr Muhammad Abid al Jabiri, murtad mempunyai dua jenis iaitu seorang diri dan menghasut orang lain bersama.

“Jadi, di sini kita lihat para fuqaha’ pun berbeza pendapat mengenai hukuman bunuh terhadap yang murtad. Kita pula kadang-kadang al-Quran pun tak ingat, hadis pun lupa, pandai-pandai nak jatuhkan hukuman.

“Buat Sajat, apabila orang sudah nasihat, tegur dari selembut-lembut cara sampailah setegas-tegas kaedah, lihatlah diri sendiri, muhasabah dan perbaiki diri, bukannya dengan merajuk dan selepas itu beritahu orang nak keluar Islam,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : HMetro

 

Be the first to comment on "‘Sajat, muhasabah dan perbaikilah diri, bukannya merajuk!’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*