Polis temui mayat Zolkples di rumah selepas gagal dihubungi

Ampang: Polis menemui mayat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong di rumahnya di Pandan Indah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum itu bekas pembantu peribadi beliau membuat panggilan MERS 999 menyatakan Zolkples gagal dihubungi sejak malam semalam.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota ke rumah teres dua tingkat yang dihuni beliau kira-kira 10 pagi untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

“Anggota cuba beberapa kali mengetuk pintu dan memanggilnya, namun tiada jawapan lalu memaksa anggota memecahkan pintu untuk masuk membuat pemeriksaan.

“Polis menemui arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan beliau sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, keluarga memberitahu Allahyarham pernah membuat pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu dan tidak menjalani rawatan susulan selepas itu.

“Menurut keluarga, arwah juga ada membuat ujian saringan Covid-19 kali terakhir pada Jumaat lalu dan berkeputusan negatif,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kesan pecah masuk dan pergelutan.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Sri Petaling, di sini, untuk pengurusan dan dijangka dikebumikan di Kampung Sura, Dungun, Terengganu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan salah seorang pegawai di MSN mengesahkan kematian Zolkples dengan punca kematian masih belum diketahui.

Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook News Online

Sumber : HM

 

Be the first to comment on "Polis temui mayat Zolkples di rumah selepas gagal dihubungi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*