Sempat Kena Usik “Bila Mahu Belanja Saya Makan Nasi Beriani Kambing?” – Akhirnya Sugu Pavithra ‘Bersidang Video’ Dengan PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berinteraksi dengan penerima-penerima bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) melalui sidang video bagi mendapatkan gambaran manfaat yang diperoleh daripada bantuan tersebut.

Memetik Bernama, sidang itu berlangsung ketika Muhyiddin melawat Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan di sini, bagi meninjau operasi serta status pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang jumlah keseluruhannya RM295 bilion.

Penerima-penerima yang dihubungkan melalui sidang video itu mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan Malaysia atas bantuan yang disalurkan itu.

Antara yang berpeluang berinteraksi dengan Muhyddin hari ini ialah pasangan suami isteri YouTuber viraI yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.

Pasangan sebelum ini turut menerima sumbangan barang keperluan daripada perdana menteri yang membolehkan mereka meneruskan minat memasak.

Muhyiddin sempat mengusik M. Sugu, 29 dan isterinya S. Pavithra, 28, dengan bertanya : “Bila mahu belanja saya makan nasi beriani kambing.”

Pasangan yang merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) itu berkata bantuan itu meringankan beban mereka terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berasal dari Sungai Siput, Perak, pasangan itu berhasrat membuka restoran sendiri. Saluran YouTube ‘Sugu-Pavithra’ kini mempunyai lebih 600,000 pengikut.

Perjalanan sidang berkenan turut dikongsikan menerusi Facebook Bernama.

Rosnizam Ishak, 43, pula menggunakan dana BPN untuk memulakan perniagaan kambing perap setelah kedai makan yang diusahakannya sejak 2015 terjejas sewaktu PKP hingga terpaksa ditutup akibat perniagaan merosot selain pekerja tidak hadir bekerja atas faktor keselamatan.

Kesan daripada PKP itu, katanya dia dan isterinya mendapat idea perniagaan baharu yang bersesuaian dengan kebiasaan baharu dengan memilih mengusahakan perniagaan kambing perap sejuk beku.

“Musi1ah telah menjadi hikmah. Perniagaan kambing mendapat sambutan luar jangkaan. Penggunaan 100 peratus media sosial telah memulihkan ekonomi kami,” kata Rosnizam yang berasal dari Bertam, Pulau Pinang, sambil menambah BPN itu diberikan tepat pada masanya.

Rosnizam berkata usahanya tidak terhenti di situ sahaja kerana perniagaan itu turut membuka peluang kepada orang lain dengan menjadi ejen dan penghantar kambing perap untuk menampung pendapatan semasa PKP.

Pemandu teksi di Lembah Klang, Ahmad Rusdi Mat Daud, yang terkesan ketika PKP berkata bantuan one-off RM600 untuk pemandu teksi dan BPN sebanyak RM1,600 telah membantu meringankan bebannya.

Berkongsi kesukaran ketika PKP, Ahmad Rusdi, 52, berkata pendapatannya  begitu terjejas dan ketika itu amat sukar untuk mendapat RM20 walaupun bekerja sehingga 13 jam.

Turut berinteraksi dengan perdana menteri  ialah Pajan Singh Kirpal Singh, 55, pemilik hotel bajet di Kuantan, Pahang yang menerima bantuan subsidi upah dan moratorium pinjaman  bank.

Walaupun perniagaan hotel terjejas, beliau masih menyediakan perkhidmatan percuma untuk barisan hadapan yang bertugas ketika tempoh PKP bagi menghargai peng0rbanan mereka.

Michael Lo Vun Leong dari Tamparuli, Sabah pula memanfaatkan bantuan pembiayaan BSN Micro/i Kredit sebanyak RM60,000 sebagai suntikan modal perniagaan dan membayar gaji pekerja.

Lo, 45,  terlibat dalam perniagaan pengangkutan barang-barang sejak 2016, namun mengalami kerugian kerana perniagaan tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP.

Sesi persidangan video kira-kira 20 minit itu turut dihadiri Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Sumber: Bernama

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Terengganu TV

Sumber : MH

Be the first to comment on "Sempat Kena Usik “Bila Mahu Belanja Saya Makan Nasi Beriani Kambing?” – Akhirnya Sugu Pavithra ‘Bersidang Video’ Dengan PM"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*