‘Kalau Bulat meninggal, ibu ikut tak’

 

JOHOR BAHRU: “Saya ada pesan kepada dia (Putra Ahmad Danial Abdullah) supaya bermain sepuas-puasnya sebelum kembali bersekolah kerana perlu tumpu pada pelajaran pula, tetapi tidak sangka dia main sehingga tidak pulang ke rumah lagi.

Demikian luahan ibu salah seorang mangsa lemas di Sungai Skudai, Nur Syafariena Fazuera Ishak, 28, terhadap anak sulungnya yang mesra dengan panggilan Bulat yang ditemukan kira-kira 14 meter daripada lokasi kali terakhir dia dilihat.

Kata Nur Syafariena, lebih meruntun jiwa apabila pemergian Bulat hanya lima hari selepas kehilangan bapa tersayang yang meninggal dunia Selasa lalu akibat penyakit kronik yang dihidapinya.

“Minggu lepas saya kehilangan ayah, hari ini (semalam) saya kehilangan anak pula. Perasaan sedih itu tidak boleh digambarkan, tetapi saya reda dengan ujian Allah. Tak sangka mimpi Bulat terhadap arwah datuknya sejak beberapa hari lalu memberi makna dia akan meninggalkan saya juga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

Semalam, mayat Putra Ahmad Danial bersama rakannya, Osmond Chan Wu Ye, 8, masing-masing ditemukan pada pukul 8.58 malam dan tiga jam kemudian setelah mereka dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan ketika sedang mandi di Sungai Skudai.

Sementara itu, Nur Syafariena turut tidak menyangka anaknya akan berjalan kaki dan bermain sejauh lebih satu kilometer ke Sungai Skudai memandangkan kanak-kanak itu kebiasaannya hanya bermain di sekitar tempat tinggal mereka di Jalan Jelawat, Kampung Baru Skudai, di sini.

“Sekitar pukul 5 petang ketika saya sedang menjaga anak perempuan berusia dua tahun, masih kedengaran suaranya bermain bersama rakan berbangsa Cina di hadapan rumah. Budak lelaki itu adalah kawan baru dia selepas kami berpindah dari Senai bulan lepas.

“Malah, saya sendiri tidak tahu terdapat sungai di kawasan ini. Memang terkejut dengan pemergiannya. Sebelum ini dia ada juga tanya, kalau Bulat meninggal dunia, ibu akan ikut Bulat sekali tak? Dia budak-budak lagi, jadi saya pujuk dia dan kata mesti ibu ikut sebab ibu sayang Bulat,” katanya sambil menitiskan air mata. – 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : UTUSAN ONLINE

 

Be the first to comment on "‘Kalau Bulat meninggal, ibu ikut tak’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*