Ibu tunggal mualaf jual ikan secara dalam talian sara hidup

 

SUNGAI PETANI: Seorang ibu tunggal yang merupakan mualaf tabah menghadapi dugaan hidup untuk menyara keluarga dengan menjual ikan termasuk secara dalam talian selepas berpisah dengan suaminya, kira-kira 11 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan setahun lalu, rezeki Mawardah Tang Abdullah, 51, yang tinggal di Taman Sejati, di sini terbatas kerana tidak bebas bergerak mencari pendapatan.

Mawardah yang memeluk Islam pada 1993 berkata, dia buntu memikirkan nasibnya yang terpaksa menyara ibu, Nor Liana Lian Abdullah,72, dan seorang anak perempuannya, Nor Aina Sawal, 17, yang masih bersekolah.

Katanya, dia mempunyai tiga anak termasuk Nor Aina manakala dua lagi anaknya berusia 23 tahun dan 26 tahun telah berkahwin serta tinggal berasingan.

“Selain menjual ikan dari Kuala Muda, saya menjual pelbagai barangan lain seperti sayur-sayuran dan rempah yang dipesan pelanggan tetapi sejak kebelakangan ini pendapatan yang diperoleh merosot.

“Saya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan pernah memohon bantuan bulanan daripada pejabat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung perbelanjaan.

“Bagaimanapun, permohonan tersebut tidak diluluskan kerana dikatakan saya tidak berkelayakan,” katanya ketika ditemui semalam.

Kata Mawardah, selepas berpisah dengan suaminya pada 2010, dia terpaksa berdikari tanpa mendapat bantuan daripada mana-mana pihak untuk perbelanjaan harian.

Katanya, dia yang tidak mempunyai simpanan bimbang persekolahan anak bongsunya terjejas sekiranya tidak mampu menampung perbelanjaan harian ke sekolah.

“Saya juga perlu menanggung kos rawatan ibu yang semakin uzur, selain bimbang gagal menjelaskan bayaran sewa rumah sebanyak RM400 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Mawardah boleh menghubunginya di talian 011-15019934 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya di nombor 20020020516694. 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : – UTUSAN ONLINE

 

Be the first to comment on "Ibu tunggal mualaf jual ikan secara dalam talian sara hidup"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*