Kerana Cemburu, Isteri Hamil Ditetak Sehingga Mati Oleh Suami Sendiri

TAWAU: Angkara cemburu, seorang buruh ladang tergamak menetak leher isterinya yang sedang hamil sehingga mati dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi tidak bernombor dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, Kilometer 50, Jalan Tawau-Semporna.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihak polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.06 malam bergegas ke lokasi kejadian sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga warga asing berusia 22 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang di situ melarikan diri selepas kejadian itu.

“Suspek akhirnya ditahan selepas tujuh jam bersembunyi di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada jam 12.05 tengah malam.

“Turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang biru dan sehelai seluar panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Peter berkata, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek mengetahui mengenai hubungan sulit isterinya, namun mangsa enggan menceritakan hubungan sulit itu dengan lebih lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa mendapati satu kesan tetakan di belakang leher disyaki menggunakan senjata tajam selain si mati juga dipercayai sedang mengandung.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sumber : BHonline

Be the first to comment on "Kerana Cemburu, Isteri Hamil Ditetak Sehingga Mati Oleh Suami Sendiri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*