Isteri masak tak sedap punca bercerai

 

MELAKA – Seramai 165 pasa­ngan suami isteri di negeri ini bercerai secara purata pada setiap bulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Pelbagai alasan diberikan termasuk hal remeh seperti bau badan isteri, pasangan masak tak sedap, anak kerap lapar selain ketagih permainan video.

Pada tahun ini pula, bilangan kes cerai meningkat 48.7 peratus apabila seramai 231 pasangan te­lah mendaftar pada Januari dan Februari lalu, berbanding 1,979 kes keseluruhan sepanjang 2020.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd. Nadzri Abdul Rahman berkata, alasan remeh itu antara yang diberikan pasangan semasa prosiding penceraian selepas tiada lagi persefahaman antara mereka.

“Semua alasan remeh yang diberikan kebanyakannya berpunca akibat tekanan berkaitan kewangan.

“Semasa proses bercerai, ada juga pasangan beri alasan isteri tak kemas bilik, isteri pe­rokok, pasangan kuat membebel dan macam-macam lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nadzri, punca kes penceraian khususnya semasa PKP dan PKP 2.0 baru-baru ini meningkat disebabkan pasangan mula lebih ‘mengenali’ pasangan masing-masing selepas mereka terkurung 24 jam di rumah selama berminggu-minggu.

Walaupun punca disebabkan sikap pasangan, namun hakikatnya kebanyakan mereka yang berpisah menghadapi tekanan berkaitan kewangan mungkin kesan hilang pekerjaan atau terjejas pendapatan sepanjang tempoh tersebut.

Mohd. Nadzri memberitahu, selain itu, antara punca lain yang diberikan adalah berkaitan masalah seksual seperti seks luar tabii, hiperseksual atau hubu­ngan kelamin keterlaluan.

“Mungkin sepanjang PKP, suami mempunyai banyak masa di rumah menyebabkan mereka melayari laman dan video lucah yang merangsang persetubuhan luar tabii sedangkan perkara itu tidak berlaku sebelum ini.

“Ini menyebabkan ada isteri yang mengadu tidak tahan kerana terlalu kerap disetubuh dalam sehari,” katanya.

Media sosial juga antara pe­nyumbang kes cerai kerana ada pasangan yang leka melayari Facebook, Twitter dan Instagram.

Ada dalam kalangan mereka meluahkan ketidakpuasan hati melalui medium itu dengan membuka aib keluarga termasuk menyindir pasangan dan keluarga mentua.

Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 712 kes penceraian berlaku melibatkan pasangan berusia 31 sehingga 40 tahun yang masih belum stabil dari segi kewangan.

“Ia diikuti pasangan berusia 21 hingga 30 tahun termasuk mereka yang baharu enam bulan bernikah iaitu 673 kes,” katanya.

Kira-kira 50 peratus pasa­ngan bercerai adalah golongan B40 yang bekerja sendiri antaranya peniaga kecil-kecilan dan pembantu kedai makan.-K! ONLINE

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : kosmo

 

Be the first to comment on "Isteri masak tak sedap punca bercerai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*