Digigit anjing ketika baca meter elektrik

Pasir Gudang: Pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), cedera selepas tangan kanannya digigit anjing ketika sedang membuat bacaan meter elektrik di Jalan Api-api 1, Taman Megah Ria, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah hari itu, mangsa, Mohd Faridzuan Nordin, 27, yang sedang menjalankan tugas, tiba-tiba diterkam seekor anjing yang meluru keluar apabila pintu pagar kecil sebuah rumah dibuka oleh cucu pemilik rumah berkenaan.

Menerusi perkongsian yang tular di media sosial semalam, mangsa dan anak pemilik anjing kemudian dilaporkan bergelut dengan anjing berkenaan beberapa minit bagi mententeramkan haiwan itu sebelum anjing berkenaan melepaskan gigitannya.

Mangsa yang kesakitan dan terkejut kemudiannya dilaporkan meminta bantuan di aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar digigit anjing pada 12.15 tengah hari.

Berikutan itu, beberapa rakan sekerja mangsa segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan membawanya ke klinik berhampiran di Taman Megah Ria untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan.

Insiden itu menyebabkan dia mengalami luka agak dalam akibat gigitan di lengan tangan kanan, selain cedera pada ibu jari tangan kiri dan bahagian kaki kiri.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini untuk membuat pemeriksaan dan rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.

“Pegawai penyiasat memaklumkan mangsa mengalami kecederaan namun tidak mengalami patah tangan seperti ditularkan.

“Mangsa mengalami luka di lengan tangan kanan dan ibu jari tangan kiri serta di kakinya.

“Bagaimanapun, mangsa secara suka rela menarik balik laporan itu selepas perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Kes diselesaikan dengan baik,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook News Online

Sumber: HARIAN METRO

Be the first to comment on "Digigit anjing ketika baca meter elektrik"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*