Baju arwah ibu pengubat rindu

Kulai: “Sejak isteri meninggal dunia akibat Covid-19 pada 18 Ogos lalu, anak syurga kami, Aisyah tidak tidur lena dan hanya tenang apabila diselimutkan dengan baju arwah,” kata A Wahid Hassan, 55.

Wahid berkata, anaknya Puteri Balqis, 11, atau mesra dengan panggilan Aisyah menghidap penyakit jantung berlubang, cerebral palsy (CP) selain Wolf-Hirschhorn syndrome (WHS).

Menurutnya, kesayuan anak bongsu daripada empat beradik itu jelas kelihatan tanpa kehadiran ibunya.

Menurutnya, sejak dilahirkan, Aisyah tidak pernah berpisah dengan arwah ibunya, Norlina Jais, 45.

“Akibat mengalami CP dan WHS, tumbesarannya terbantut, keupayaan mentalnya agak lambat selain kadang-kala dia mengalami sawan.

“Berikutan tubuhnya mudah lemah sekiranya terdedah kepada cahaya matahari, arwah isteri sanggup berkurung di rumah dan tugasannya tidak banyak beza seperti jururawat sepenuh masa kerana perlu memberi jagaan termasuk susu dan ubat mengikut masa.

“Pengorbanan isteri terlalu besar yang mana dia tidak pernah anggap Aisyah sebagai bebanan sebaliknya sebagai anugerah tidak ternilai dari Allah,” katanya yang tinggal di Kulai di sini.

Wahid berkata, arwah sentiasa memasang harapan supaya Aisyah diberi kesembuhan dan bagi memberi sepenuh perhatian, dia nekad berhenti kerja sebagai pembantu klinik selepas kelahiran anak istimewa itu.

Menurutnya, dia tidak sangka akan kehilangan insan kesayangan yang menjadi sumber kekuatan keluarga namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, pada 3 Ogos lalu, isterinya disahkan positif Covid-19 dan selepas pemeriksaan kesihatan, arwah diarahkan kuarantin di rumah, manakala dia diarahkan ke pusat kuarantin di Pasir Gudang.

“Pada 10 Ogos lalu, saya pulang ke rumah manakala arwah dihantar Hospital Sultanah Aminah (HSA). Kali terakhir saya dapat berbual dengannya adalah pada 12 Ogos sebelum dia ditidurkan, kami sempat bermaafan dan dia meminta saya jaga amanah Allah (anak),” katanya. Wahid berkata, pada 10.30 pagi, 18 Ogos dia menerima panggilan daripada doktor HSA memaklumkan isterinya meninggal dunia.

“Saya sedih kerana tidak dapat melihat wajahnya atau mengurus pengebumiannya.

“Hari ini dia tiada bersama kami namun saya berharap doa arwah buat Aisyah sentiasa menjadi pelindung kepadanya dan memberi saya kekuatan untuk memikul tanggungjawab menjaganya setiap masa selain anak lelaki saya berusia 15 tahun.

“Saya sanggup tidak bekerja demi menjaga Aisyah dan saya bersyukur kerana ahli keluarga sentiasa memberi semangat dan sokongan moral,” katanya.

Wahid dan Norlina dikurniakan empat cahaya mata berusia 11 hingga 24 tahun. Wahid boleh dihubungi menerusi 01139648022.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook News Online

Sumber : MURAI.MY

 

Be the first to comment on "Baju arwah ibu pengubat rindu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*