Sering Kembara Solo Ke Luar Negara, Pemuda Ini Berjumpa Jodohnya….

 

SATU pasangan yang baru mendirikan rumah tangga menjadi perhatian di aplikasi TikTok kerana kecantikan isteri ‘minah salih’nya.

Suaminya yang merupakan rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila turut dikatakan sepadan biarpun berlainan bangsa dan budaya.

“Ada adik ipar ke bro?” antara komen netizen menerusi satu video susulan, kebanyakannya memuji kecantikan isterinya yang dilihat persis model itu.

Lelaki berkenaan, Muizzuddin Mahmud berkata, isterinya, Alesia Kuhto merupakan rakyat Belarus, sebuah negara timur Eropah berdekatan Rusia, Ukraine dan Poland.

 

Anak kelahiran Banting, Selangor itu berkata, mereka berkahwin pada 12 Januari lalu selepas mengenali antara satu sama lain pada akhir 2019 sebelum bermulanya pandemik Covid-19.

“Saya mula mengenali Alesia sewaktu saya mengembara solo secara backpack ke beberapa negara di Eropah seperti United Kingdom, Sepanyol, Poland, Perancis dan Jerman.

“Pertama kali saya bertemu dengannya di sebuah kafe di Warsaw, Poland. Masing-masing duduk berseorangan di meja berasingan.

“Tertarik dengan matanya membuatkan saya berani datang ke meja dia dan menegur. Mula-mula tu dia tak tahu di mana Malaysia sehingga saya sebut KLCC (Menara Berkembar Petronas),” kata pemuda berusia 31 tahun itu kepada mStar.

Pertemuan pertama Izzu (kanan) dan Alesia di sebuah kafe di Warsaw, Poland.

Lebih mesra disapa Izzu, katanya, tarikan pada pandangan pertama itu membuatkan hubungan mereka bertambah serius meskipun berjauhan sekembalinya dia ke tanah air.

“Percaya atau tidak, hampir setahun kami berhubung menerusi video call. Dua kali tiket penerbangan Alesia untuk ke Malaysia pada April dan Jun 2020 batal disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan pintu sempadan negara masih ditutup.

“Asalnya nak bawa dia masuk untuk kenalkan kepada keluarga dahulu. Akhirnya Alesia dapat masuk ke Malaysia pada Disember 2020 selepas kami membuat keputusan untuk terus berkahwin,” katanya.

Disatukan sebagai suami isteri selepas lebih setahun berkenalan.

Sejak berkongsi video secara santai bersama isteri di TikTok, anak keempat daripada lima adik beradik itu mengakui banyak soalan-soalan ‘panas’ yang diajukan kepadanya.

“Banyak yang saya tak mahu ulas atau jawab, tapi dalam banyak-banyak tu saya jawab juga pertanyaan netizen mengenai adik isteri saya.

 

Saya tak kata wajah isteri iras Angelina Jolie sebagaimana yang dikatakan oleh netizen. Tapi bahagian mata dan renungannya bagi saya persis pelakon itu.

MUIZZUDDIN MAHMUD

“Ya, isteri saya ada seorang adik perempuan berusia 27 tahun. Cuma mereka berdua sahaja dalam adik-beradik, ramai yang memuji kecantikan adik ipar saya,” ujar Izzu yang merupakan pengurus di sebuah gim di Kuala Lumpur.

Izzu berkata, ramai menyangka Alesia merupakan seorang model, namun sebaliknya isterinya itu mempunyai latar belakang dalam bidang perakaunan.

Izzu (kiri) bersama Alesia (kanan) dan anak tiri.

Namun, dia yang berpengalaman dalam bidang kecergasan selama sembilan tahun berkata, isterinya kini mencari peluang dalam peragaan atau iklan komersial di Malaysia.

“Jujurnya, saya tertarik dengan matanya yang biru. Bila netizen kata wajah isteri ada mirip dengan pelakon Hollywood, Angelina Jolie… baru saya perasan ada sedikit persamaan.

“Saya tak kata wajah isteri iras Angelina Jolie sebagaimana yang dikatakan oleh netizen. Tapi bahagian mata dan renungannya bagi saya persis pelakon itu,” katanya sambil menambah isterinya yang juga berusia 31 tahun mempunyai seorang anak perempuan berumur enam tahun, hasil perkahwinan terdahulu.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook

Sumber : mstar

 

Be the first to comment on "Sering Kembara Solo Ke Luar Negara, Pemuda Ini Berjumpa Jodohnya…."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*